Monday, October 5, 2009

isu penuntut islam di ipta

Lelaki lembut kini menjadi satu isu yang boleh menggugat mentaliti masyarakat sekeliling dan bagaikan satu wabak yang boleh disebarkan. Jika ia tidak diubati maka ia akan memberikan satu tanggapan yang negatif oleh masyarakat. Oleh itu, isu lelaki lembut ini perlu kita kupas bagi menangani isu ini dari terus berleluasa.

Pada pandangan saya, kita harus merenungkan konsep ‘3 W’ iaitu ‘why’, ‘when’ dan ‘who’. Melalui konsep ‘3 W’ ini kita dapat meleraikan kekusutan yang timbul. Pandangan saya ini tidak memihak mana-mana pihak tetapi pandangan saya berasaskan apa yang berlaku di sekeliling kita.

Di sini kita cuba fikirkan konsep ‘3 W’ ini. Pertama ‘why’ – Mengapakah mereka (lelaki lembut) berkelakuan sedemikian? Jika kita fikirkan adakah mereka inginkan diri mereka bersifat begitu, pada pandangan saya tidak. Bukan semua lelaki lembut dilahirkan dalam keadaan sifat yang lembut. Pengaruh rakan sebaya merupakan salah satu faktor yang boleh mempengaruhi diri seseorang.

Kedua ‘when’ – Bilakah lelaki lembut ini mengalami krisis identiti ini? Jika kita berpendapat bahawa pelajar lembut ramai di IPTA maka kita adalah silap. Cuba kita turun padang dan lihat sendiri bahawa bukan pelajar lelaki lembut berada di IPTA sahaja malahan sejak di bangku sekolah lagi. Selidikilah di sekolah asrama lelaki atau di sekolah menengah dan buat ‘kajian survey’ adakah terdapat pelajar yang lembut di sekolah berkenaan. Pada pandangan saya memang ada. Maka tidak hairanlah, kebanyakan pelajar baru yang berdaftar di IPTA ada yang lembut walaupun peratusannya adalah kecil.

Ketiga ‘who’ – Siapakah yang harus disalahkan dan siapakah lelaki lembut ini? Masyarakat sekarangnseolah-olah menyalahkan individu tersebut yang bersifat sedemikian. Kita tidak boleh menunding jari dan menyalahkan mereka kerana kita kena bersifat terbuka dalam menyelesaikan isu ini. Adakah institut kekeluargaan kini kian longgar? Adakah ramai guru-guru lelaki di peringkat sekolah yang bersifat lembut? Ini semua kita kena kaji sebelum membuat sebarang komen yang akhirnya menimbulkan isu yang sensitif terhadap pelajar lembut ini. Ada di kalangan mereka yang menjadi sedemikian kerana mereka mempunyai adik-beradik yang hampir kesemuanya adalah perempuan.

Tidak kurang juga, sifat ibu bapa yang terlalu mahukan anak perempuan telah memaksa mereka melayan anak-anak mereka seolah-olah perempuan. Tidakkah ini boleh berlaku dan menjadikan persoalan yang akhirnya terjawab? Saya percaya Allah telah memberikan kita zuriat untuk menyambung waris kita. Seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan di dunia ibarat sehelai kain putih dan ibu bapalah yang perlu mewarnainya. Jika hitam warnanya, maka hitamlah ia.

Kesimpulannya, sekiranya masyarakat kita masih menganggap bahawa isu lelaki lembut ini satu masalah yang serius, kita fikirkan sejenak dan buat kajian berapa peratuskah pelajar yang lembut ini menjawat jawatan yang tinggi di sektor kerajaan atau sektor swasta? Adakah mereka benar-benar tidak memberikan sumbangan kepada negara dan tidak mampu menjadi pemimpin? Apa yang pasti, saya percaya lelaki lembut ini lebih mampu memberikan yang terbaik dalam merealisasikan cita-cita mereka sebagai masyarakat yang boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan lelaki waja ini. Seharusnya saya sebagai lelaki waja malu kerana masih terdapat kes dadah, perogolan dan kecurian yang melibatkan lelaki waja ini.

Thursday, October 1, 2009

isu ilmu-ilmu islam

Ibn Rushd merupakan seorang jenius dalam skop ensiklopedia. Beliau menghabiskan sebahagian besar hayatnya sebagai seorang hakim dan ahli perubatan. Hingga sekarang beliau dikenali di Barat sebagai pengulas agung terhadap falsafah Aristotle yang pengaruhnya menembusi minda hatta pendeta Kristian paling konservatif semasa Zaman Pertengahan termasuklah St. Thomas Aquinas. Orang ramai pergi kepada beliau untuk rujukan dalam perubatan sebagaimana mereka merujuk beliau dalam masalah hukum dan fiqh. Abu al-Walid Muhammad ibn Rushd (dikenali di Barat sebagai Averroes) dilahirkan di Cordova, Sepanyol pada tahun 520H (1128M). Bapa dan datuk beliau merupakan hakim terkemuka. Keluarga beliau terkenal dengan kesarjanaan dan ini memberi persekitaran yang sesuai untuk cemerlang dalam pembelajaran. Beliau mempelajari hukum-hakam, perubatan, matematik dan falsafah. Beliau mempelajari falsafah dan undang-undang daripada Abu Ja’far Harun dan Ibn Bajah.

Pada usia 27 tahun, Ibn Rushd telah dijemput oleh kerajaan al-Muwahhidun di Marrakesh (di Morokko) untuk membantu mereka dalam menubuhkan institusi-institusi pendidikan Islam. Sempena pertabalan Yusuf Tashfin, beliau diperkenalkan kepada baginda oleh seorang lagi ahli falsafah Muslim iaitu Ibn Tufail untuk membantu dalam menterjemah, meringkas dan mengulas beberapa hasil kerja Aristotle (dalam tahun 1169M).

Ibn Rushd dilantik sebagai qadhi (hakim) di Seville pada usia 44 tahun. Pada tahun tersebut beliau menterjemah dan meringkaskan buku Aristotle “De Anima” (Haiwan). Buku ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin oleh Micheal Scott. Dua tahun kemudiannya beliau dipindahkan ke Cordova, tempat kelahiran beliau yang beliau habiskan 10 tahun sebagai hakim bandar tersebut. Sepanjang 10 tahun tersebut Ibn Rushd menulis ulasan terhadap hasil kerja Aristotle termasuklah Metafizik. Beliau kemudiannya dipanggil balik ke Marrakesh untuk bekerja sebagai doktor bagi Khalifah di sana, sebelum beliau pulang kembali ke Cordova sebagai Ketua Hakim.

Ibn Rushd amat mahir dalam permasalahan aqidah dan hukum-hukum, yang melayakkan beliau untuk jawatan qadhi (hakim), tetapi beliau juga sangat berminat dengan falsafah dan logik. Jadi beliau cuba mengharmonikan falsafah dengan agama dalam banyak karya beliau. Selain lapangan pengajian ini, beliau amat berminat dengan perubatan sebagaimana pendahulu beliau, Ibn Sina. Menurut ahli falsafah Perancis bernama Renan, Ibn Rushd telah menulis 78 buah buku mengenai pelbagai subjek.

Satu pemeriksaan cermat terhadap karya-karya beliau mendedahkan bahawa Ibn Rushd merupakan seorang kuat beragama. Sebagai contoh, kita mendapati dalam tulisan beliau, “Sesiapa yang mempelajari anatomi akan meningkatkan keimanannya terhadap kekuasaan dan keesaan Tuhan yang Maha Berkuasa.” Dalam karya-karya perubatan dan falsafah beliau, kita dapat melihat betapa dalamnya keimanan dan pengetahuan beliau mengenai al-Quran dan hadith, yang selalu dipetik beliau untuk menyokong pandangan beliau dalam pelbagai masalah. Ibn Rushd berkata bahawa kegembiraan yang sebenar bagi manusia pastinya dapat dicapai melalui kesihatan mental dan psikologi, dan orang ramai tidak dapat menikmati kesihatan psikologi melainkan mereka mengikuti jalan yang membawa mereka kepada kegembiraan di alam akhirat, dan melainkan mereka menyakini Tuhan dan keesaan-Nya.