Thursday, October 1, 2009

isu ilmu-ilmu islam

Ibn Rushd merupakan seorang jenius dalam skop ensiklopedia. Beliau menghabiskan sebahagian besar hayatnya sebagai seorang hakim dan ahli perubatan. Hingga sekarang beliau dikenali di Barat sebagai pengulas agung terhadap falsafah Aristotle yang pengaruhnya menembusi minda hatta pendeta Kristian paling konservatif semasa Zaman Pertengahan termasuklah St. Thomas Aquinas. Orang ramai pergi kepada beliau untuk rujukan dalam perubatan sebagaimana mereka merujuk beliau dalam masalah hukum dan fiqh. Abu al-Walid Muhammad ibn Rushd (dikenali di Barat sebagai Averroes) dilahirkan di Cordova, Sepanyol pada tahun 520H (1128M). Bapa dan datuk beliau merupakan hakim terkemuka. Keluarga beliau terkenal dengan kesarjanaan dan ini memberi persekitaran yang sesuai untuk cemerlang dalam pembelajaran. Beliau mempelajari hukum-hakam, perubatan, matematik dan falsafah. Beliau mempelajari falsafah dan undang-undang daripada Abu Ja’far Harun dan Ibn Bajah.

Pada usia 27 tahun, Ibn Rushd telah dijemput oleh kerajaan al-Muwahhidun di Marrakesh (di Morokko) untuk membantu mereka dalam menubuhkan institusi-institusi pendidikan Islam. Sempena pertabalan Yusuf Tashfin, beliau diperkenalkan kepada baginda oleh seorang lagi ahli falsafah Muslim iaitu Ibn Tufail untuk membantu dalam menterjemah, meringkas dan mengulas beberapa hasil kerja Aristotle (dalam tahun 1169M).

Ibn Rushd dilantik sebagai qadhi (hakim) di Seville pada usia 44 tahun. Pada tahun tersebut beliau menterjemah dan meringkaskan buku Aristotle “De Anima” (Haiwan). Buku ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin oleh Micheal Scott. Dua tahun kemudiannya beliau dipindahkan ke Cordova, tempat kelahiran beliau yang beliau habiskan 10 tahun sebagai hakim bandar tersebut. Sepanjang 10 tahun tersebut Ibn Rushd menulis ulasan terhadap hasil kerja Aristotle termasuklah Metafizik. Beliau kemudiannya dipanggil balik ke Marrakesh untuk bekerja sebagai doktor bagi Khalifah di sana, sebelum beliau pulang kembali ke Cordova sebagai Ketua Hakim.

Ibn Rushd amat mahir dalam permasalahan aqidah dan hukum-hukum, yang melayakkan beliau untuk jawatan qadhi (hakim), tetapi beliau juga sangat berminat dengan falsafah dan logik. Jadi beliau cuba mengharmonikan falsafah dengan agama dalam banyak karya beliau. Selain lapangan pengajian ini, beliau amat berminat dengan perubatan sebagaimana pendahulu beliau, Ibn Sina. Menurut ahli falsafah Perancis bernama Renan, Ibn Rushd telah menulis 78 buah buku mengenai pelbagai subjek.

Satu pemeriksaan cermat terhadap karya-karya beliau mendedahkan bahawa Ibn Rushd merupakan seorang kuat beragama. Sebagai contoh, kita mendapati dalam tulisan beliau, “Sesiapa yang mempelajari anatomi akan meningkatkan keimanannya terhadap kekuasaan dan keesaan Tuhan yang Maha Berkuasa.” Dalam karya-karya perubatan dan falsafah beliau, kita dapat melihat betapa dalamnya keimanan dan pengetahuan beliau mengenai al-Quran dan hadith, yang selalu dipetik beliau untuk menyokong pandangan beliau dalam pelbagai masalah. Ibn Rushd berkata bahawa kegembiraan yang sebenar bagi manusia pastinya dapat dicapai melalui kesihatan mental dan psikologi, dan orang ramai tidak dapat menikmati kesihatan psikologi melainkan mereka mengikuti jalan yang membawa mereka kepada kegembiraan di alam akhirat, dan melainkan mereka menyakini Tuhan dan keesaan-Nya.

1 comment:

  1. waaa bgus la segmen nie..
    sekrg2nya dpt gak ana taw tntg btpa agungnya ilmu2 islam tp agak malang la skg rmai gnag2 muda2 islam dh makin lupa dah tnntg sej agung nie..

    ReplyDelete