Friday, September 25, 2009

Undang-undang Jenayah Islam adalah ciptaan Allah S.W.T. yang bersifat Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui tentang sesuatu, sudah tentu undang-undang yang dicipta-Nya itu sesuai untuk setiap masa dan tempat. Oleh sebab itu undang-undang Islam dalam semua bidang tidak berubah dan bertukar mengikut masa dan tempat. Manakala Undang-undang ciptaan manusia sentiasa menerima perubahan mengikut keadaan, masa dan tempat serta kemahuan orang yang membuat undang-undang.
Setiap Muslim wajib mempercayai kebenaran undang-undang ciptaan Allah dan mematuhinya, serta wajib berusaha untuk menegakkannya. Kalaulah seorang warganegara yang berani mengkritik undang-undang negaranya boleh dianggap sebagai menghina dan mempersendakan undang-undang tersebut, maka lebih besar kesalahannya jika seorang Islam berani mengkritik undang-undang Islam sebagai ketinggalan zaman dan tidak sesuai dengan masa. Orang itu bukan sahaja mencabar kebijaksanaan dan kekuasaan Allah S.W.T., tetapi boleh menjejaskan imannya sebagai seorang muslim. Undang-undang Islam adalah berasaskan pada sumber yang utama iaitu al-Quran al-Karim.
Undang-undang Islam memandang manusia itu sama rata. Tidak ada bezanya di antara berpangkat tinggi atau rendah, miskin atau kaya, pihak yang berkuasa ataupun rakyat biasa. Siapa sahaja yang melakukan kesalahan tetap akan menerima hukuman. Tidak ada pengecualian atau keistimewaan diberikan kepada pihak-pihak yang tertentu. Hukuman dikenakan secara menyeluruh kepada semua golongan masyarakat yang sudah mempunyai cukup tanggungjawab (mukallaf) terhadap kesalahan yang dilakukan.
Undang-undang Islam juga berhubung rapat dengan soal akhlak atau perasaan hati. Islam menganggap budi pekerti yang baik sebagai sendi masyarakat. Oleh kerana itu tiap-tiap perbuatan yang bertentangan dengan akhlak tetap akan menerima balasan dan hukuman, sama ada di dunia atau di akhirat. Mana-mana kes yang mempunyai bukti dan keterangan yang lengkap akan dihukum di dunia ini, manakala kes-kes yang tidak terang dan tersembunyi, ia tetap akan menerima hukuman di hadapan Hakim Yang Maha Adil.

1 comment:

  1. hurmmm mmg diakui undang2 allah swt adalah undg2 yang terbek..
    DIA maha mengetahu segala sesuatu yg terbek 2k hamba2NYA

    ReplyDelete