Praktikalnya, pembinaan keluarga islam merupakan elemen yang cukup penting dalam melahirkan individu muslim sejati. Di sini, ibu bapa seharusnya memainkan peranan sebaik mungkin dalam menyediakan medium tarbiyah yang terbaik untuk anak-anak. Kegagalan pembinaan di peringkat keluarga akan menjurus kepada masalah yang boleh diibaratkan seolah berantai yang akhirnya akan merugikan umat Islam secara amnya. Justeru, sebagai panduan bersama, digariskan di sini 5 siri gaya hidup atau adab-adab praktikal yang boleh dilaksanakan ke arah pembinaan keluarga islamik yang berteraskan Al-Quran.
ADAB 1: Memelihara kebersihan dan kesucian
Kebersihan dan kesucian merangkumi kebersihan diri, pakaian dan rumah.
1. Melazimi sunnah Rasulullah dalam menjaga kebersihan tubuh badan dan pakaian, antaranya menghilangkan najis dan memelihara wudhuk semampu yang mungkin.
2. Menjaga kebersihan perkakas rumah, perabot dan yang paling penting adalah kebersihan di ruang solat. Ambil berat juga kebersihan tandas atau bilik air.
Sabda Rasulullah: “ Sesungguhnya Allah itu bersih, dia menyukai kebersihan. Yang Mulia, menyukai kemuliaan dan Yang Pemurah, menyukai orang yang pemurah. Maka bersihkanlah dan jangan kamu menyerupai orang-orang Yahudi” (Hadis Hasan, Riwayat At-Tarmizi)
ADAB 2: Menjaga susun atur dan keelokan pakaian serta persekitaran
Antara adab yang perlu dipelihara oleh sesorang sama ada di dalam atau di luar rumah adalah menjaga susun atur peralatan dan keelokan dalam berpakaian. Maka wajiblah bagi kita untuk mengelakkan mata memandang suasana yang buruk dan tidak elok. Antaranya, seperti meninggalkan meja makan atau sudut bacaan dalam keadaan tidak tersusun dan meninggalkan pakaian berselerak dan berlonggok pada bukan tempatnya. Antara pemandangan yang tidak elok juga adalah apabila seorang itu kekal dalam pakaian tidurnya setelah bangun dari tidur di siang hari, membiarkan anak-anak kecil dalam keadaan yang kotor dan comot serta tidak memisahkan tempat tidur antara anak-anak lelaki dan perempuan.
Antara yang boleh dilakukan untuk mempraktikkan adab ini adalah:
1. Menjadikan semua susun atur di dalam rumah dalam keadaan sistematik. Menyusun dan merapikan apa-apa yang berselerak setelah bangun dari tidur. Menentukan tempat-tempat khas untuk setiap barang dan peralatan. Mengembalikan semua perkakas yang digunakan ke tempat asal setelah menggunakannya.
2. Mendidik dan membiasakan setiap ahli keluarga untuk tidak menyelongkar atau menyepahkan peralatan rumah termasuk buku-buku, kertas dan perabot.
3. Cepat-cepat menukar pakaian tidur kepada pakaian harian setelah bangun dari tidur dan mandi. Ibu bapa memainkan peranan penting dalam menunjukkan contoh yang baik di hadapan anak-anak.
ADAB 3: Merendahkan suara, tidak membuat gangguan dan menyimpan rahsia
Apa-apa sahaja bentuk gangguan bunyi seperti meninggikan suara ketika berbual dan bergelak ketawa dan meyakitkan orang lain merupakan tanda hilangnya budi pekerti dan tidak memenuhi kehendak syarak.
1. Maka, sebuah rumah yang melambangkan ciri-ciri muslim menjaga kerendahan suara dan tidak mengangkat suara lebih dari kadar yang diperlukan. Sebagai contoh, si suami tidak memanggil si isteri dengan memekik namanya ketika ada tetamu yang bertandang di rumah. Cukuplah dengan isyarat seperti ketukan pintu dan sebagainya.
2. Antara contoh gangguan bunyi yang lain adalah bunyi radio, televisyen dan hingar-bingar anak-anak sama ada ketika mereka menangis atau bermain. Begitu juga bunyi-bunyi alatan rumah yang mengeluarkan bunyi bising. Maka, wajiblah individu di dalam rumah tersebut mengelakkan berlakunya keadaan –keadaan ini supaya tidak menyakitkan jiran tetangga.
3. Semestinya ahli rumah dididik dalam aspek menjaga kerahsiaan. Apa sahaja yang berlaku di dalam rumah tidak semestinya perlu diceritakan di luar. Jika ada yang menyebarkan rahsia, maka dialah seburuk-buruk manusia.
ADAB 4: Sistem keilmuan dan ibadat
Sesungguhnya ketinggian nilai seorang muslim bergantung kepada keluarga yang didampinginya. Maka, untuk merealisasikan ketinggian nilai muslim ini, wajiblah untuk setiap ahli keluarga, sama ada kanak-kanak, lelaki mahupun wanita, mempunyai majlis ilmu seperti pengajian ilmiah, kelas kefahaman Islam di dalam ataupun di luar rumah seperti di rumah sahabat lain atau di masjid-masjid.
1. Mengurus sistem keilmuan
• Mengadakan pertemuan mingguan dengan setiap ahli rumah
• Menentukan silibus yang bersesuaian dengan setiap ahli rumah agar dapat memenuhi keperluan ilmu pengetahuan Islam dan pemikiran masa kini.
2. Mengurus sistem ibadat
• Solat: Membiasakan setiap ahli rumah khususnya kanak-kanak untuk solat fardhu berjemaah di masjid, solat sunat di rumah dan keluar awal untuk solat fardhu Jumaat.
• Zikir dan tilawah Al-Quran: Membiasakan setiap ahli rumah sentiasa berzikir dalam setiap keadaan dan membaca wirid harian daripada Al-Quran.
• Puasa: Membiasakan ahli rumah berpuasa sunat seperti puasa hari Isnin dan Khamis pada setiap minggu serta puasa-puasa lain seperti puasa Hari Asyura, Tasu’a dan Hari Arafah.
ADAB 5: Sistem ekonomi dalam kehidupan
Dari segi makan dan minum seorang muslim seharusnya begini:
1. Tidak berlebihan tetapi sederhana
2. Tidak mengambil makanan dan minuman yang haram serta memudaratkan
3. Membiasakan ahli rumah untuk bermujahadah dalam makan dan minum dan tidak gelojoh dan rakus.
4. Menyusun jadual riadhah untuk menyempurnakan sistem penghadaman makan dan minum.
Dari segi pakaian dan keperluan harian pula:
1. Tidak menimbunkan pakaian dengan sentiasa membelinya tanpa ada keperluan
2. Menggunakan peralatan rumah sepeti langsir serta pakaian dengan baik.
3. Membiasakan ahli rumah dengan budaya saling tegur menegur dengan hikmah sekiranya berlakunya pembaziran.
Sunday, September 20, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
salam..
ReplyDeletebc artikel ang nie trasa lak cm nk cpat je kwin..asenya dh bersedia kowt ana nk ke jnjng pelamin..
pe2 sma2 kta fkirkan demi kesejhteraan rumahtnga yg mau djadikan rumahku syurgaku insyaallah
artikel yang dapat memberi tunjuk ajar kepada mereka yang khususnya bakal menjadi ibu-bapa. Ibu-bapa cerminan untuk anak-anak..
ReplyDelete