Friday, September 25, 2009

Undang-undang Jenayah Islam adalah ciptaan Allah S.W.T. yang bersifat Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui tentang sesuatu, sudah tentu undang-undang yang dicipta-Nya itu sesuai untuk setiap masa dan tempat. Oleh sebab itu undang-undang Islam dalam semua bidang tidak berubah dan bertukar mengikut masa dan tempat. Manakala Undang-undang ciptaan manusia sentiasa menerima perubahan mengikut keadaan, masa dan tempat serta kemahuan orang yang membuat undang-undang.
Setiap Muslim wajib mempercayai kebenaran undang-undang ciptaan Allah dan mematuhinya, serta wajib berusaha untuk menegakkannya. Kalaulah seorang warganegara yang berani mengkritik undang-undang negaranya boleh dianggap sebagai menghina dan mempersendakan undang-undang tersebut, maka lebih besar kesalahannya jika seorang Islam berani mengkritik undang-undang Islam sebagai ketinggalan zaman dan tidak sesuai dengan masa. Orang itu bukan sahaja mencabar kebijaksanaan dan kekuasaan Allah S.W.T., tetapi boleh menjejaskan imannya sebagai seorang muslim. Undang-undang Islam adalah berasaskan pada sumber yang utama iaitu al-Quran al-Karim.
Undang-undang Islam memandang manusia itu sama rata. Tidak ada bezanya di antara berpangkat tinggi atau rendah, miskin atau kaya, pihak yang berkuasa ataupun rakyat biasa. Siapa sahaja yang melakukan kesalahan tetap akan menerima hukuman. Tidak ada pengecualian atau keistimewaan diberikan kepada pihak-pihak yang tertentu. Hukuman dikenakan secara menyeluruh kepada semua golongan masyarakat yang sudah mempunyai cukup tanggungjawab (mukallaf) terhadap kesalahan yang dilakukan.
Undang-undang Islam juga berhubung rapat dengan soal akhlak atau perasaan hati. Islam menganggap budi pekerti yang baik sebagai sendi masyarakat. Oleh kerana itu tiap-tiap perbuatan yang bertentangan dengan akhlak tetap akan menerima balasan dan hukuman, sama ada di dunia atau di akhirat. Mana-mana kes yang mempunyai bukti dan keterangan yang lengkap akan dihukum di dunia ini, manakala kes-kes yang tidak terang dan tersembunyi, ia tetap akan menerima hukuman di hadapan Hakim Yang Maha Adil.

Wednesday, September 23, 2009

isu politik islam

Politik yang diamalkan di negara kita hari ini adalah cara politik yang dibawa dari barat yang diambil dari tamaddun Greek di Rome yang wujud lama sebelum tamaddun Islam lahir. Melalui sistem politik inilah telah diambil kesempatan oleh sebahagian pejuang-pejuang Islam di Malaysia menggunakannya untuk memperjuangkan dan mendaulatkan agama Islam. Oleh itu tidak hairanlah wujudnya parti-parti politik Islam seperti PAS yang juga berada di bawah sistem politik ala Rome ini, maaf, saya tidaklah bermaksud untuk memperkecilkan perjuangan PAS. Perkara ini bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah begitulah juga keadaannya di negara-negara lain yang mengamalkan sistem politik ini seperti Pakistan, Mesir, Bangladesh, Algeria dan lain-lain lagi. Di negara-negara ini juga terdapat parti-parti politik yang mendakwa memperjuangkan Islam seperti PAS.

Sebenarnya, kita selamanya tidak akan berjaya untuk memperjuangkan agama Islam ini kalau kita mengambil pendekatan lain selain dari cara yang ditunjukkan oleh Allah melalui RasulNya Muhammad s.a.w. Kalau kita hendak berjaya dalam memperjuangkan Islam atau menegakkan Islam di muka bumi ini maka kita hendaklah menggunakan cara yang diredai Allah yang telah ditunjukkan oleh Allah melalui RasulNya itu. Rasulullah itu adalah sebaik contoh kepada umat manusia.

Sunday, September 20, 2009

isu pembinaan keluarga islam

Praktikalnya, pembinaan keluarga islam merupakan elemen yang cukup penting dalam melahirkan individu muslim sejati. Di sini, ibu bapa seharusnya memainkan peranan sebaik mungkin dalam menyediakan medium tarbiyah yang terbaik untuk anak-anak. Kegagalan pembinaan di peringkat keluarga akan menjurus kepada masalah yang boleh diibaratkan seolah berantai yang akhirnya akan merugikan umat Islam secara amnya. Justeru, sebagai panduan bersama, digariskan di sini 5 siri gaya hidup atau adab-adab praktikal yang boleh dilaksanakan ke arah pembinaan keluarga islamik yang berteraskan Al-Quran.


ADAB 1: Memelihara kebersihan dan kesucian

Kebersihan dan kesucian merangkumi kebersihan diri, pakaian dan rumah.

1. Melazimi sunnah Rasulullah dalam menjaga kebersihan tubuh badan dan pakaian, antaranya menghilangkan najis dan memelihara wudhuk semampu yang mungkin.

2. Menjaga kebersihan perkakas rumah, perabot dan yang paling penting adalah kebersihan di ruang solat. Ambil berat juga kebersihan tandas atau bilik air.

Sabda Rasulullah: “ Sesungguhnya Allah itu bersih, dia menyukai kebersihan. Yang Mulia, menyukai kemuliaan dan Yang Pemurah, menyukai orang yang pemurah. Maka bersihkanlah dan jangan kamu menyerupai orang-orang Yahudi” (Hadis Hasan, Riwayat At-Tarmizi)


ADAB 2: Menjaga susun atur dan keelokan pakaian serta persekitaran

Antara adab yang perlu dipelihara oleh sesorang sama ada di dalam atau di luar rumah adalah menjaga susun atur peralatan dan keelokan dalam berpakaian. Maka wajiblah bagi kita untuk mengelakkan mata memandang suasana yang buruk dan tidak elok. Antaranya, seperti meninggalkan meja makan atau sudut bacaan dalam keadaan tidak tersusun dan meninggalkan pakaian berselerak dan berlonggok pada bukan tempatnya. Antara pemandangan yang tidak elok juga adalah apabila seorang itu kekal dalam pakaian tidurnya setelah bangun dari tidur di siang hari, membiarkan anak-anak kecil dalam keadaan yang kotor dan comot serta tidak memisahkan tempat tidur antara anak-anak lelaki dan perempuan.

Antara yang boleh dilakukan untuk mempraktikkan adab ini adalah:

1. Menjadikan semua susun atur di dalam rumah dalam keadaan sistematik. Menyusun dan merapikan apa-apa yang berselerak setelah bangun dari tidur. Menentukan tempat-tempat khas untuk setiap barang dan peralatan. Mengembalikan semua perkakas yang digunakan ke tempat asal setelah menggunakannya.

2. Mendidik dan membiasakan setiap ahli keluarga untuk tidak menyelongkar atau menyepahkan peralatan rumah termasuk buku-buku, kertas dan perabot.

3. Cepat-cepat menukar pakaian tidur kepada pakaian harian setelah bangun dari tidur dan mandi. Ibu bapa memainkan peranan penting dalam menunjukkan contoh yang baik di hadapan anak-anak.


ADAB 3: Merendahkan suara, tidak membuat gangguan dan menyimpan rahsia

Apa-apa sahaja bentuk gangguan bunyi seperti meninggikan suara ketika berbual dan bergelak ketawa dan meyakitkan orang lain merupakan tanda hilangnya budi pekerti dan tidak memenuhi kehendak syarak.

1. Maka, sebuah rumah yang melambangkan ciri-ciri muslim menjaga kerendahan suara dan tidak mengangkat suara lebih dari kadar yang diperlukan. Sebagai contoh, si suami tidak memanggil si isteri dengan memekik namanya ketika ada tetamu yang bertandang di rumah. Cukuplah dengan isyarat seperti ketukan pintu dan sebagainya.

2. Antara contoh gangguan bunyi yang lain adalah bunyi radio, televisyen dan hingar-bingar anak-anak sama ada ketika mereka menangis atau bermain. Begitu juga bunyi-bunyi alatan rumah yang mengeluarkan bunyi bising. Maka, wajiblah individu di dalam rumah tersebut mengelakkan berlakunya keadaan –keadaan ini supaya tidak menyakitkan jiran tetangga.

3. Semestinya ahli rumah dididik dalam aspek menjaga kerahsiaan. Apa sahaja yang berlaku di dalam rumah tidak semestinya perlu diceritakan di luar. Jika ada yang menyebarkan rahsia, maka dialah seburuk-buruk manusia.


ADAB 4: Sistem keilmuan dan ibadat

Sesungguhnya ketinggian nilai seorang muslim bergantung kepada keluarga yang didampinginya. Maka, untuk merealisasikan ketinggian nilai muslim ini, wajiblah untuk setiap ahli keluarga, sama ada kanak-kanak, lelaki mahupun wanita, mempunyai majlis ilmu seperti pengajian ilmiah, kelas kefahaman Islam di dalam ataupun di luar rumah seperti di rumah sahabat lain atau di masjid-masjid.

1. Mengurus sistem keilmuan

• Mengadakan pertemuan mingguan dengan setiap ahli rumah

• Menentukan silibus yang bersesuaian dengan setiap ahli rumah agar dapat memenuhi keperluan ilmu pengetahuan Islam dan pemikiran masa kini.

2. Mengurus sistem ibadat

• Solat: Membiasakan setiap ahli rumah khususnya kanak-kanak untuk solat fardhu berjemaah di masjid, solat sunat di rumah dan keluar awal untuk solat fardhu Jumaat.

• Zikir dan tilawah Al-Quran: Membiasakan setiap ahli rumah sentiasa berzikir dalam setiap keadaan dan membaca wirid harian daripada Al-Quran.

• Puasa: Membiasakan ahli rumah berpuasa sunat seperti puasa hari Isnin dan Khamis pada setiap minggu serta puasa-puasa lain seperti puasa Hari Asyura, Tasu’a dan Hari Arafah.


ADAB 5: Sistem ekonomi dalam kehidupan

Dari segi makan dan minum seorang muslim seharusnya begini:

1. Tidak berlebihan tetapi sederhana

2. Tidak mengambil makanan dan minuman yang haram serta memudaratkan

3. Membiasakan ahli rumah untuk bermujahadah dalam makan dan minum dan tidak gelojoh dan rakus.

4. Menyusun jadual riadhah untuk menyempurnakan sistem penghadaman makan dan minum.

Dari segi pakaian dan keperluan harian pula:

1. Tidak menimbunkan pakaian dengan sentiasa membelinya tanpa ada keperluan

2. Menggunakan peralatan rumah sepeti langsir serta pakaian dengan baik.

3. Membiasakan ahli rumah dengan budaya saling tegur menegur dengan hikmah sekiranya berlakunya pembaziran.

Thursday, September 10, 2009

isu negara islam

Isu “Negara Islam” di Malaysia menimbulkan kontroversi bukan sahaja di kalangan Muslim tetapi juga bukan Muslim. Bagi seorang muslim yang memahami serta mendapat gambaran sebenar tasawwur “negara Islam” di zaman Nabi Muhammad saw dan zaman-zaman khalifah selepas baginda, ianya tidak menimbulkan sebarang keraguan. Malah, “negara Islam” yang dimaksudkan itu sentiasa menjadi impian bagi seseorang Muslim yang mempunyai persepsi yang jelas mengenai rupa bentuk negara Islam. Manakala bagi orang yang tidak mendapat gambaran yang jelas dan tidak memahami konsep serta tasawwur “negara Islam” yang dimaksudkan, samada mereka itu orang Islam atau bukan Islam, maka sudah pasti mereka akan ragu-ragu dan menolaknya. Apatah lagi apabila ada pihak yang tidak suka kepada Islam atau “negara Islam” itu menjalankan propaganda negatif dan memberikan gambaran yang salah kepada orang ramai khususnya kepada orang bukan Islam.
Justeru tidak hairanlah jika ada orang yang menolak cadangan “negara Islam” yang ingin diketengahkan oleh beberapa golongan samada badan bukan kerajaan atau parti politik atau individu. Apabila ini berlaku, maka sukar bagi umat Islam untuk menyalahkan orang bukan Islam yang menolak “negara Islam” kerana di dalam pemikiran orang bukan Islam seperti beberapa orang pimpinan parti DAP, MIC, dan MCA yang sudah pasti tidak memahami tasawwur “negara Islam” sebenar. Apabila seseorang itu tidak mempunyai maklumat yang betul atau benar, sudah tentu ia akan ragu-ragu dan kadangkala akan memusuhi pihak yang satu lagi. Ini bermakna menjadi umat Islam harus menyahut cabaran bagi memberikan penjelasan demi penjelasan mengenai apa yang dimaksudkan dengan “negara Islam.” Ringkasnya usaha dakwah dalam menyampaikan maksud sebenar konsep dan tasawwur negara Islam serta kebaikan dan keadilan dalam pemerintahan Islam.
Perlu ditekankan di sini bahawa isu “negara Islam” sering disalahtafsirkan. “Negara Islam” tidak boleh diukur dengan majoriti atau minoriti umat Islam di sesebuah negara. Catatan sejarah dengan jelas menunjukkan bahawa orang-orang bukan Islam dalam sesebuah negara pernah menerima Islam sebagai sistem pemerintahan walaupun orang bukan Islam merupakan majoriti di negara berkenaan. Bermula daripada Kerajaan Islam Rasulullah SAW di Madinah yang didiami oleh masyarakat majmuk, kemudian Kerajaan Islam minoriti yang diketuai oleh Abu Musa Al-Asya’ari di Yaman, Kerajaan Islam minoriti Umaiyyah di Andalus dan Kerajaan Islam minoriti Mataram di Jawa, telah membuktikan bahawa “negara Islam” pernah wujud dalam negara di mana majoriti rakyatnya ialah bukan Islam dan yang memerintah negara berkenaan ialah orang Islam.

Tuesday, September 8, 2009

isu ekonomi islam

Islam adalah satu-satunya agama yang sempurna yang mengatur seluruh kehidupan manusia dan alam semesta. Kegiatan perekonomian manusia juga diatur dalam Islam dengan prinsip illahiyah. Harta yang ada pada kita, sesungguhnya bukan milik manusia, melainkan hanya dari Allah swt agar dimanfaatkan sebaik-baiknya demi kepentingan umat manusia yang pada akhirnya semua akan kembali kepada Allah swt untuk dipertanggungjawabkan.

Pengertian Ekonomi Islam
Ekonomi Islam merupakan satu konsep ekonomi manusia yang mana ianya diatur berdasarkan agama Islam dan didasari dengan tauhid sebagaimana dirangkum dalam rukun iman dan rukun Islam.
Bekerja merupakan suatu kewajiban karena Allah swt memerintahkannya, sebagaimana firman-Nya dalam surat At Taubah ayat 105:
Dan katakanlah, bekerjalah kamu, karena Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat pekerjaan itu.
Kerana kerja membawa pada keampunan, sebagaimana sabada Rasulullah Muhammad saw:
Barang siapa diwaktu petangnya kepenatan kerana kerja, maka di waktu itu ia mendapat keampunan.
(HR.Thabrani dan Baihaqi)

Tujuan Ekonomi Islam
Segala peraturan yang diturunkan Allah swt dalam system Islam yang menuju kepada kejayaan, kesejahteraan, keutamaan, serta menghapuskan kejahatan, kesengsaraan, dan kerugian pada seluruh ciptaan-Nya. Bgitu juga dalam sistem ekonomi, tujuannya adalah membantu manusia mencapai kemenangan di dunia dan di akhirat.

Prinsip-Prinsip Ekonomi Islam
Secara garis besar ekonomi Islam memiliki beberapa prinsip dasar:

1. Berbagai sumber daya dipandang sebagai pemberian atau titipan dari Allah swt kepada manusia.

2. Islam mengakui pemilikan pribadi didalam batas-batas tertentu.

3. Kekuatan penggerak utama ekonomi Islam adalah kerjasama.

4. Ekonomi Islam menolak terjadinya penguasaan kekayaan yang dikuasai oleh segelintir orang saja.

5. Ekonomi Islam menjamin pemilikan masyarakat dan penggunaannya direncanakan untuk kepentingan banyak orang.

6. Seorang mulsim harus takut kepada Allah swt dan hari penentuan di akhirat nanti.

7. Zakat harus dibayarkan atas kekayaan yang telah memenuhi batas (nisab)

8. Islam melarang riba dalam segala bentuk.

Saturday, September 5, 2009

isu penghayatan islam

Zahirkan Kesyukuran Melalui Aidilfitri

Allah berfirman dalam surah Al-baqarah ayat 185 yang bermaksud " supaya kamu menyempurnakan bilangan iaitu hari-hari yang di tuntut untuk berpuasa dan hendaklah kamu bertakbir di atas kurniaan Allah kepada kamu mudah-mudahan kamu menjadi hamba yang bersyukur."

apabila kita berbicara mengenai hari raya maka kita akan mengatakan hari berseronok dan bergembira. memang ini tidak dinafikan dalam Islam iktiraf hak orang islam untuk berseronok dan bergembira, tetapi islam meletakkan batas-batas yang tertentu.

Bergembira dan berseronok dalam konteks bertakbir, membesarkan dan memuji Allah SWT. kerana itu pada hari raya aidilfitri disunatkan kita bertakbir sebagai kita mengzahirkan kesyukuran kita terhadap kurniaan Allah keatas diri kita.

dalam masa yang sama berterima kasih atas rasa bersyukur kurniaan Allah yang terbesar iaitu nikmat Islam dan iman. apa makna berseronok jika nikmat kedua-dua itu dilucutkan daripada diri kita. pada masa itu bergembira seseorang samalah seperti haiwan dan mereka yang tidak ada nilai islam dan Iman.

Friday, September 4, 2009

isu pendidikan anak-anak

Pembangunan perindustrian pesat dalam era globalisasi yang berlaku dalam dunia hari ini telah meningkatkan cabaran membentuk generasi akan datang khasnya bagi ibubapa dan pendidik Muslim. Dalam menempuh alam cyber dan teknologi maklumat tidak dapat dinafikan pembangunan insan dan pembinaan generasi perlu dititikberatkan selari dengan keprihatinan terhadap kepesatan kemajuan negara. Ini kerana kanak-kanak merupakan aset penting bagi pembinaan sesuatu bangsa dan ketinggian maruah agama. Mereka adalah generasi pewaris yang bakal menjana wawasan dan mencorak masa depan sesebuah negara pada alaf yang akan datang. Mereka bakal menjadi pemimpin ummah dan mencorak keunggulan Islam sebagai agama sejagat.

Akhir-akhir ini banyak ibu bapa dan institusi pendidikan, mendidik anak-anak berasaskan pendekatan pendidikan yang diilhamkan oleh dunia Barat. Walaupun sebahagian pendekatan ini telah diubahsuai, pada dasarnya pendekatan itu tetap bukan pendidikan Islam. Sekiranya dianalisis sistem-sistem pendidikan ini, kita akan sampai kepada satu kesimpulan bahawa seluruh sistem pendidikan ini tiada kaitan dengan pendidikan berteraskan hakikat Rabbaniyah. Sistem-sistem ini sama ada dari segi falsafah, objektif, mahupun natijah yang diharapkan, sangat berbeza daripada hakikat pendidikan di dalam tasawwur Islam. Sistem pendidikan Barat mungkin mampu untuk menghasilkan anak-anak pintar cerdas dan merealisasikan potensi akal dan jasmani kerana memang itu matlamat pendidikan mereka. Walaupun penekanan moral diberi ruang dalam sistem ini, sistem moral bukan Islam sudah pasti tidak dapat menghasilkan sistem moral Islam, sekalipun kita berusaha untuk mengurangkan kekurangannya dengan menggabungkan unsur-unsur Islam ke dalamnya.

Oleh itu, isu pendidikan anak-anak ini seharusnya bermula dengan menerapkan mereka dengan pendidikan tentang islam. Dengan islam sahaja anak-anak kita mempunyai masa depan yang erah.

Thursday, September 3, 2009

isu akidah islam

akidah merupakan asas kepada pembinaan Islam pada diri seseorang. Ia merupakan inti kepada amalan Islam seseorang. Seseorang yang tidak memiliki akidah menyebabkan amalannya tidak mendapat pengiktirafan oleh Allah swt. Ayat-ayat yang terawal yang diturunkan oleh Allah swt kepada Nabi Muhammad saw di Makkah menjurus kepada pembinaan akidah. Dengan asas pendidikan dan penghayatan akidah yang kuat dan jelas maka Nabi Muhammad saw telah berjaya melahirkan sahabat-sahabat yang mempunyai daya tahan yang kental dalam mempertahan dan mengembangkan Islam ke seluruh dunia. Bilal bin Rabah tidak berganjak imannya walaupun diseksa dan ditindih dengan batu besar di tengah padang pasir yang panas terik. Demikian juga keluarga Amar bin Yasir tetap teguh iman mereka walau berhadapan dengan ancaman maut. Dari sini kita nampak dengan jelas bahawa akidah amat penting dalam jiwa setiap insan muslim agar mereka dapat mempertahan iman dan agama Islam lebih-lebih lagi di zaman globalisasi yang penuh dengan cabaran dalam segenap penjuru terutamanya internet dan teknologi maklumat yang berkembang dengan begitu pesat sekali.

dalam dunia hari ini, akidah menjadi fokus utama unutk kita membina benteng agama didalam diri kita. untuk memantapkan lagi akidah kita, kita hendaklah berpandukan al-quran dan sunnah yang mana ianya menjdai petunjuk kepada jalan yang lurus.

Bagi mengukuhkan akidah, banyak langkah yang boleh kita lakukan antaranya ialah melakukan banyak perkara sunat seperti membaca Al Quran, solat tahajud dan bersedekah. Dalam keadaan kita melakukan aktiviti begini, jiwa dan hati kita akan terasa tenteram serta tenang. Keadaan ini akan menggalakkan diri kita untuk menambahkan amalan-amalan sunat dan dalam masa yang sama akan dapat mengukuhkan akidah. Walaupun perkara ini bukan mudah untuk dilakukan, tapi dengan melakukan dengan permulaan yang sedikit dan melakukannya setiap hari adalah cara yang terbaik untuk melakukannya.

Sentiasa memohon keampunan kepada Allah SWT juga boleh mengukuhkan akidah seseorang. Dalam kehidaupan harian kita, kita tidak pasti sama ada kita melakukan dosa atau tidak. Contoh dalam melakukan amalan seperti Solat, belum tentu kita khusyuk sepenuhnya. Jadi ini boleh mendatangkan dosa atau sekurang-kurangnya akan mengurangkan pahala. Jadi langkah yang terbaik adalah dengan sentiasa memohon keampunan kepada Allah SWT. Sedangkan nabi junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW yang maksum dari melakukan dosa sentiasa memohon keamunan, inikan kita yang tidak terlepas dari melakukan dosa.